Jumaat, 21 Ogos 2009

bahasa jiwa bangsa



"BAHASA JIWA BANGSA"..Demikianlah kalimah yang sering kita tulis, sebut atau perkatakan...namun adakah kita semua faham apakah yang dimaksudkan dengan bahasa jiwa bangsa ini...sebelum aku bercerita dengan lebih lanjut mengenai bahasa jiwa bangsa ini aku nak kongsi sedikit pengalaman dengan pembaca semua...sebelum aku diterima masuk ke UPSI ni, aku menghadiri temuduga..dalam temuduga tersebut aku ditanya apa yang awak faham tentang bahasa jiwa bangsa..huhuhu...kelakar je rasa...aku pun tak tahu apa yang aku cakap...main bedal je...huhu..disebabkan itu, aku tergerak hati untuk berkongsi apa sebenarnya bahasa jiwa bangsa ni...

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''. Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia. Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme. Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.
Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu. Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan