Isnin, 28 September 2009

- LAMAN BAHASA -

* MASA DEPAN BAHASA MELAYU *



Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah. Kedudukannya sebagai bahasa utama negara Malaysia sudah terjamin dari segi penggunaan yang luas dan perakuan oleh rakyat Malaysia. Dasar Pelajaran Kebangsaan negara telah menghasilkan murid-murid yang mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu, dan bermula dari tahun 1983, penuntut yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi telah menerima seluruh pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bentuknya telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan rakyat Malaysia dan pada hari ini bahasa Melayu dapat bersaing dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Russia dan bahasa-bahasa lain.


Mungkin yang masih perlu dilakukan terhadap bahasa Melayu ialah meningkatkan status penggunaannya, iaitu dari segi menimbulkan unsur-unsur keindahan. Sekarang bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang mampu memperkatakan semua bidang. Tetapi, demi menjaga kedaulatannya, kita harus berusaha memperindahkannya, mewujudkan unsur-unsur yang menjadikannya lebih murni, supaya apa-apa yang diperkatakannya bukan sahaja tepat tetapi juga dalam bentuk yang menarik dan menyentuh cita rasa yang tinggi. Inilah cabaran yang harus diterima oleh rakyat Malaysia pada tahun-tahun akan datang.